Inisiatif kerajaan negeri Sarawak dalam memperluaskan program Dual Language Programme (DLP) bermula pada tahun 2020 merupakan satu langkah yang bijak. Bermula dari tahun 2020 semua pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains akan dikendalikan dalam Bahasa Inggeris. Untuk tujuan itu, semua guru-guru yang akan mengajar Sains dan Matematik untuk murid-murid tahun 1 pada tahun hadapan diberikan kursus Bahasa Inggeris pada tahun ini bemula bulan September 2019. Generasi muda di Sarawak akan mendapat banyak faedah daripada program ini untuk bertahun-tahun lamanya. Negeri Sarawak akan menjadi negeri yang terkehadapan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Seringkali kita dengar tentang kepentingan Bahasa Inggeris walaupun ada pihak yang menidakkannya. Namun, realitinya begitu terutama dalam era digital bila mana komunikasi berlaku tanpa sempadan melalui media-media sosial dan penggunaan internet yang meluas. Ketidakupayaan untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris menutup banyak peluang untuk mendapatkan kerjaya yang baik dan menghadkan keterlibatan dalam pasaran global.
Penulis berpeluang mengendalikan kursus Bahasa Inggeris untuk guru-guru ini. Peluang untuk program ini untuk berjaya adalah cerah kerana sikap guru-gurunya yang positif walaupun mereka sedar akan kekurangan yang ada. Apabila diminta untuk berucap dalam Bahasa Inggeris dihadapan rakan-rakan sejawat mereka dalam kursus yang penulis kendalikan, mereka tetap melaksanakannya walaupun dilihat seringkali ke tandas berkali-kali kerana rasa gemuruh untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dihadapan semua peserta kursus.
Penulis juga berpeluang berinteraksi secara tidak formal dengan guru-guru ini. Dari tinjauan rambang yang dilakukan, ramai guru yang mengajar di sekolah-sekolah pedalaman termasuk tahap P3 yang tiada isyarat telefon apatah lagi akses internet. Terdapat tiga kategori sekolah pedalaman iaitu sekolah Pedalaman 1 (P1), Pedalaman 2 (P2) dan Pedalaman 3 (P3)3. Sekolah P3 merupakan sekolah yang paling dalam yang memerlukan beberapa mod pengangkutan untuk sampai ke situ. Mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Kementerian Pelajaran Malaysia Bil. 5 Tahun 2014, terdapat 872 buah sekolah dalam kategori pedalaman ini. Mengikut pekeliling itu lagi, penentuan samada sesebuah sekolah itu berada di dalam kategori P1, P2 dan P3 dibuat dengan mengambil kira lokasi dan tahap kesusahan mengikut kriteria-kriteria berikut:
- Bilangan mod pengangkutan (termasuk kos);
- Risiko perjalanan;
- Sumber Air;
- Sumber Elektrik;
- Kediaman;
- Sanitasi;
- Telekomunikasi;
- Perkhidmatan Kesihatan dan Keselamatan;dan
- Kemudahan-kemudahan lain seperti bank, pejabat pos dan bekalan api.
Kursus DLP ini juga melibatkan interaksi atas talian yang memerlukan akses kepada internet. Walaupun ramai dari kalangan guru ini mengajar dan tinggal di kawasan pedalaman, mereka menggunakan kesempatan berada di hotel tempat berkursus untuk melengkapkan sebanyak mungkin latihan atas talian yang perlu mereka selesaikan.Di mana ada kesungguhan,di situ ada jalan. Semoga segala urusan guru-guru ini dipermudahkan dalam mendidik anak bangsa. Legasi ini akan mengubah landskap pendidikan di Sarawak.
No comments:
Post a Comment